UIAM RAIKAN PELAJAR ANTARABANGSA SEMPENA KEHADIRAN SYAWAL
Oleh Roslan Rusly
Gombak, 26 Jun - - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) meraikan pelajar antarabangsanya yang melanjutkan pengajian mereka di UIAM dalam pelbagai bidang.
Seramai 250 orang pelajar yang berasal dari 33 buah negara seperti Turki, Arab Saudi, Bangladesh, China, Afrika dan dari pelbagai negara lain bersama-sama meraikan kehadiran syawal dalam majlis yang dianjurkan di Kampus Gombak.
Turut hadir bersama meraikan sambutan ini ialah Presiden UIAM, Tan Sri Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim yang juga penasihat sosio budaya kerajaan Malaysia, Rektor UIAM, Prof. Dato Sri Zaleha Kamaruddin dan pengurusan tertinggi universiti.
Majlis ini dianjurkan adalah untuk meraikan pelajar antarabangsa yang mana mereka terpaksa beraya di perantauan dan berjauhan dari keluarga. Dalam masa yang sama ia salah satu cara untuk memberikan kegembiraan kepada mereka yang hanya beraya bersama rakan-rakan.
Majlis turut dimeriahkan dengan jamuan juadah hari raya dari Malaysia dan Arab. Wakil-wakil pelajar dari setiap negara turut menyampaikan ucapan raya dalam bahasa mereka masing-masing.
Tan Sri Dr. Rais Yatim juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 155 orang pelajar yang kurang berkemampuan dan menyampaikan paket hamper kepada pelajar yang hadir.
Menurut Tan Sri Dr. Rais Yatim ketika ditemui berkata, ini adalah salah satu cara untuk memberi sedikit keceriaan kepada para pelajar antarabangsa yang berjauhan dengan keluarga, kampus ini dianggap sebagai rumah kedua mereka jadi dengan penganjuran program ini ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa rindu mereka di kampung halaman.
"Kami disini bolehlah dianggap sebagai ibu bapa mereka kerana keluarga mereka berada di kejauhan dan kami bagi pihak pengurusan universiti sentiasa prihatin akan kebajikan mereka".ujarnya.
Sementara itu, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyertai 1500 jemaah bersembahyang sunat hari raya di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kampus Gombak.
End
Comments
Post a Comment